Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus menulis, moga ada pengajaran yang dapat diambil sekurang-kurangnya buat diri saya. Cerita sepanjang cuti percuma akan disambung bersama ibrah yang dapat diambil, yang saya kira merupakan sebuah kehidupan buat saya. Di dalamnya terdapat gembira, kecewa, sedih, berharap, pasrah dan redha, segala perasaan bercampur-baur. Yang pasti, sangat-sangat mendekatkan diri dengan Allah bagi mereka yang melihat ujian ini sebagai hikmah. Bukan ke semua perkara adalah terbaik untuk seorang mukmin?!!
Hidup=Tarbiyah=Dakwah
Hari terakhir menemani akhawat Jordan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, saya mendapat panggilan untuk berkemas serta bersegera pindah ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah sesegera mungkin sebelum zuhur. Keinginan untuk terus menemani akhawat dikuburkan dan bergegas pulang ke rumah usai membekalkan mereka stok makanan dan selimut yang kami harap dapat membantu mereka sedikit sebanyak.
Tidak banyak yang dapat diambil. Sebuah buku medik dan beberapa buku “makanan rohani” kerana saya kira itu yang sangat saya perlukan saat tiada pergantungan lain selain Allah. Sungguh, tanpa mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya, apa langkah yang akan dan telah disusun oleh pihak bertanggungjawab. Bersama dengan ahli beit (housemate), kami mencapai beberapa bekalan makanan untuk seminggu dan terus ke DMAK memandangkan waktu berkurung terus disingkatkan hingga ke pukul 2 petang. Keadaan sangat runcing pada ketika itu. Manusia akan mula bersesak-sesak menuju ke Medan Tahrir sejurus selepas habis waktu bekerja. Malah ada yang sanggup bermalam dan bersejuk di Medan Tahrir dek kerana ditolak oleh tekanan yang mereka hadapi sejak 30 tahun yang lalu. Bunyi peluru pemedih mata sudah mula diganti oleh bunyi tembakan peluru hidup. Korban berhampiran rumah kami semakin meningkat. Kedai kebanyakan daripada masanya ditutup. Alhamdulillah, hati masih tenang cuma tidak dapat menjangka apa akan terjadi dalam masa beberapa hari kerana masih pada waktu itu rejim HM masih belum mahu mengundur diri.
Tiba di DMAK, alhamdulillah saya bersama Kakak K dan Kakak R dapat menumpang di bilik adik2 tahun 1 Medic Azhar. Ada kisah kelakar di sebalik cerita ini. Bukan kerana seniority kami bersama tapi entahlah, pada waktu itu rasa ingin bersama dengan sumber kekuatan. Mungkin kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi tetapi sekurang-kurangnya dengan bersama, saya tahu dengan siapa saya akan lalui setiap perkara yang akan berlaku seterusnya, biiznillah. Melompat-lompat kami apabila diumumkan nama bilik. Kami diberi pilihan untuk memilih teman ketika pembahagian bilik. Apabila bilik 314 diumumkan, dan boleh diisi oleh 3 orang, kami terus melompat. Segannya, usah nak kira. Lepas lompat tu, saya terus berbisik, “akak, saya rasa macam semangat pulak orang tua macam kita ni, mengalahkan adik2 tahun 1”. Takpelah, dalam matang kami masih ada sudut anak-anak itu. Bukankah ciri keanakan itu kadangkala diperlukan dalam diri seorang wanita?!! Oh, mungkin tidak diulas di sini.
فَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَيَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيۡرً۬ا ڪَثِيرً۬ا
“Maka boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu dan Allah jadikan padanya untuk kamu terlalu banyak kebaikan” (An-Nisa’; 19)
Ayat ini menjadi kekuatan untuk kami menerima aturan Allah yang hikmahnya belum kami lihat. Malam demi malam kami lalui. Keberadaan kami di DMAK dimanfaatkan sebaiknya untuk saling menziarahi. Hampir setiap hari, setiap waktu kami berjumpa. Ada yang mula masak ‘extra’ dan mengajak ahli bilik lain makan bersama. Pendek kata, kami cuba mencari sesuatu untuk diberi di saat Allah memberi kami waqfah (perhentian) untuk kami perbaharui iman kami serta memuhasabah diri kami.
ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ
“Sesungguhnya Allah murka kepada sesiapa yang berkata-kata tetapi tidak melakukannya” (As-Saff; 3)
Ya, di sinilah kami menghayati ayat ini. Menasihati untuk saling berziarah, saling memberi walau tidak ‘diberi’ pada sesetengah ketika. Mengajak manusia menghayati al-Quran kalam Rabb yang menghantar ujian menggantikan filem-filem dan novel rekaan manusia yang membuatkan kita kurang mengambil pengajaran dengan alam sekeliling. Mempelawa manusia untuk sama-sama hanyut dalam alunan takbir bersama 5 waktu setiap hari. Menjemput manusia untuk memenuhkan tandas dan tempat mengambil wudu’ sejurus selepas azan berkumandang. Sungguh, di sini kami menghayati 2 kekuatan utama duat iaitu kekuatan iman dan kekuatan kesatuan. Benar seperti yang diulas oleh Imam Syahid di dalam Risalah Muktamar yang Kelima, bahawa tanpa kekuatan-kekuatan asasi ini umat Islam tidak akan dapat menguasai keadaan. Di sini juga kami belajar untuk menjadi seperti biji benih yang bermanfaat,
Dicampak ke darat menjadi bukit
Dicampak ke laut menjadi pulau
Inilah hakikat kehidupan seorang daie. Seperti singa yang sering mencari mangsa dan berani mempamer taring kebanggaannya. Bukan seperti anak kijang yang sentiasa dalam ketakutan, takut dibaham oleh singa yang berani. Pasti, ianya bermula dengan rasa segan dan takut, kerana itulah Allah hantar ukhti-ukhti untuk saling menguatkan. Barakallahu fiikunna ya akhawati.
Bumi yang dirindui
Menaiki penerbangan ketiga (seingat saya) untuk ke Jeddah. Alhamdulillah layanan pihak MAS sangat memuaskan walaupun terpaksa menunggu beberapa jam di lapangan terbang tetapi saya merasakan penantian kami berbaloi.
Refleks: jika penantian di bawah cahaya matahari yang terik, tanpa sebarang bekal makanan, akhirnya dibalas dengan penerbangan ke Jeddah yang layanannya sangat selesa. Bagaimana pula dengan penantian yang penuh debaran di Mahsyar kelak yang belum tahu lagi apakah pengakhirannya?! Malah belum tahu apakah tiket untuk mendapat layanan yang selesa itu diluluskan dan diterima atau tidak?!
“Ya Allah, Sesungguhnya kami memohon redhaMu dan balasan syurga Firdaus-Mu yang tertinggi serta jauhkanlah kami daripada azab api neraka”
Berada di bumi yang dah lama saya rindui membuatkan segala tekanan tidak dirasai. Alhamdulillah Allah dengar rindu saya, Allah izin saya untuk menjejak kaki ke sana dengan percuma walau tidak dapat memberi salam terus kepada kekasih-Nya di Raudhah. Walaupun terpaksa beratur hampir 4 jam untuk urusan visa tetapi penantian itu diiringi dengan doa yang tidak putus. Di tempat Muslim dari seluruh dunia bersatu selama beberapa hari, tanpa mengira pangkat, harta, warna kulit, saya merasakan peluang itu cukup berharga. Belum lagi diizinkan untuk melihat Tanah Haram itu. Sangat rindu. Sampaikanlah kami kepadanya Ya Allah. Juga sangat merindui kekasih Allah di situ. Sangat teringat segala perjuangan baginda yang susahya berkali ganda dan tidak terbayang.
Kami ditempatkan di Madinatul Hujjaj, tempat penginapan jemaah haji di musim haji. Alhamdulillah bilik sangat selesa tetapi sedih dengan sedikit ‘keserabutan’ yang berlaku di saat penerbangan dari Mesir bertali arus. Madinatul Hujjaj dibanjiri manusia dalam sekelip mata. Sehingga ada bilik sangat padat dan kehidupan menjadi sangat tidak selesa bagi sesetengah daripada mereka. Kami cuba yang terbaik dan kami teringin untuk mengajak sebilangan daripada mereka untuk bersama kami, tetapi takut mengganggu urusan logistik, kami faham urusan adhoc ini sangat perlu banyak tolak ansur jadi mana yang termampu kami ajak terutamanya dalam urusan penggunaan tandas kerana masalah air yang agak ketara. Moga Allah beri kemudahan di masa akan datang dengan datangnya tunjuk ajar untuk kali ini.
Jeddah di waktu malam, cantik kan??
Seterusnya bermulalah kehidupan di Jeddah selama 4 hari. Bagai dipam-pam, diberi makan setiap hari. Seorang demi seorang pulang ke Malaysia. Ada yang membeli tiket sendiri. Ada yang memang Allah rezekikan namanya dipanggil awal. Dan alhamdulillah setelah 4 hari, nama saya dipanggil dan menaiki penerbangan bersama ahli beit saya itu juga. Mungkin waqfah ini juga Allah izinkan saya untuk mengenali ukhti yang baru 3 bulan saya hidup bersamanya.
Melalui perhentian ini juga, nasihat abah selalu di ingatan. Dalam ayat sendiri (sebab tak ingat dan tak pandai naqal@pindahkan kata-kata orang), “Biarlah Allah tentukan apa yang terbaik, ikut sahaja flow yang Allah hidangkan di hadapan mata. Selagi tiada perkara yang membahayakan nyawa, insyaAllah ada hikmahnya”. Dari awal saya tidak mahu pulang dan tidak rasa unutk membeli tiket sendiri, begitu juga ummi dan abah. Mungkin ada hikmah besar yang Allah nak tunjuk.
~ Umumnya, sangat mengajar untuk beriman dengan qada’ dan qadr. Ujian Allah itu pasti hadir. Hanya iman yang mampu membatasi kemampuan. Tiada kemampuan yang dapat dinilai manusia kerana Allah lebih mengetahui kemampuan hambaNya itu, kerana itu Allah menurunkan ujian. Bukankah kita dicipta olehNya?! Pasti Dia lebih tahu kan?!
~ Mengimani bahawa tiap ujian itu pasti ada hikmah samada teladan mahupun sempadan. ( Yang melepak tiap malam sampai pagi, hisap shisha, Lambat solat tu jadikanlah sempadan ye )
~ Memperbaharui iman setiap kali lepas solat bersama ahli bilik, jazakillah adik2, moga Allah memudahkan urusan kalian dunia dan akhirat
~ Menguatkan ukhuwwah sesama ukhti yang saling menguatkan
~ Memperbaharui ukhuwwah dengan adik2 yang sering diabaikan ketika alpa dengan urusan harian sebagai pelajar, dan ketika diri sibuk mencari alasan sedangkan mereka ada hak untuk diziarahi
~ Penantian yang sangat sedih dan pedih kerana tidak mengetahui apa natijahnya sangat refleks dengan penantian di Padang Mahsyar. Jika keputusan dalam Ops Piramid ini adalah nikmat sementara, di sana nanti ianya kekal selamanya.
~ Hak Quran untuk dibaca, dihayati dan diamalkan lebih dapat dijaga
~ Berjumpa dengan akhawat yang jarang untuk dijumpai seperti Alex, Tanta dan Mansura dalam jarak yang sangat singkat. (Mereka kongsi pengalaman naik Charlie 🙂 )
Dan terlalu banyak pengalaman yang sukar untuk diceritakan. Boleh sembang panjang untuk yang berminat. Sekali lagi, bukan untuk menzahirkan amalan yang telah dilakukan, ianya sekadar catatan peribadi bagaimana pandangan saya terhadap situasi yang telah dilalui. Mungkin memberi pencerahan pada sesetengah pihak tetapi sebenarnya lebih kepada peringatan buat diri saya sendiri di masa akan datang, di saat saya mencari kekuatan, sebab saya ni cepat lupa:D. Tetapi saya sangat merasakan bahawa tarbiyah Allah itu sangat dekat sepanjang fatrah ini. Dan saya juga merasakan kalian semua turut merasainya.
Moga Allah terus izin kita untuk merasai nikmat ini hingga ke akhir hayat kita.
“Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalanMu, tetapkanlah kami dalam ketaatan kepadaMu dan tetapkanlah kami di atas jalan jihad untuk agamaMu”